Pengerusi Koperkasa telah kembali ke Rahmatullah
Selasa, 8 November 2011 - Dukacita dimaklumkan bahawa Pengerusi Koperkasa, Haji Alif Bin Bacha Madarshah telah meninggal dunia pada hari Selasa, 8 November 2011 bersamaan 12 Zulhijah 1432H pada kira-kira jam 5:30 petang di Hospital Miri, Sarawak.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Kuching pada hari Rabu, 9 November 2011 menggunakan penerbangan jam 2:20 petang dari Miri dan dijangka tiba di Kuching pada kira-kira jam 3:30 petang. Di Kuching, jenazah Allahyarham akan dibawa terus ke kediaman beliau di Taman Sri Wangi, Petra Jaya untuk disembahyangkan sebelum disemadikan di tanah perkuburan Islam Semariang dalam kira-kira jam 5:00 petang.
Allahyarham merupakan bekas Pengurus Umum Koperkasa mulai tahun 1974 sebelum bersara pada tahun 2005. Dengan pengalaman yang amat luas di bidang koperasi, Allahyarham telah dipilih untuk menjadi perwakilan dalam tahun 2010 dan seterusnya diberi kepercayaan untuk menerajui Koperkasa sebagai Pengerusi mulai 18 September 2010 sehingga ke akhir hayat beliau.
Semasa di awal pembabitan Allahyarham dalam pengurusan Koperkasa, Allahyarham telah banyak membantu dalam merancang dan melaksanakan pelbagai strategi sehingga melonjakkan nama Koperkasa di antara koperasi yang disegani di Malaysia.
Semasa pembabitan Allahyarham sebagai Pengerusi pula, Allahyarham telah berjaya memberikan nafas baru serta manaikkan imej Koperkasa sehingga mampu meningkatkan keuntungan di samping menjaga kebajikan anggota-anggotanya.
Koperkasa amat menghargai jasa-jasa yang telah banyak disumbangkan semasa pembabitan Allahyarham di Koperkasa. Allahyarham yang mempunyai berperwatakan tegas merupakan seorang individu yang amat dihormati dan disegani.
Dengan kesempatan ini, Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan insan yang tersayang dan pemergian Allahyarham juga merupakan satu kehilangan yang amat besar kepada Koperkasa.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.
HAJI ALIF BIN BACHA MADARSHAH
( 06 MEI 1951 - 08 NOV 2011 )
AL-FATIHAH
|